Friday, April 17, 2009

Maklumat Ringkas Mengenai Masjid Al-Firdaus Yang Terletak Di Wangsa Maju, Kuala Lumpur

Oleh: Siti Norasyma Bt Baharuddin.

SEJARAH PENUBUHAN
Pelajar UiTM Perlis.Masjid al-Firdaus yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada awal tahun 1997. Masjid ini di bina untuk menggantikan surau di kawasan tersebut yang tidak dapat menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah.

KEMUDAHAN ASAS

BILIK AIR
Masjid ini mempunyai 2 buah bilik air untuk lelaki dan wanita. Setiap bilik air mempunyai masing-masing 3 buah tandas, 5 pili air dan 2 buah cermin muka. Terdapat juga 2 buah bilik mandi pada setiap bilik air untuk memudahkan para jemaah membersihkan diri. Pihak pengurusan masjid juga menyediakan sebanyak 14 buah terompah untuk kemudahan para jemaah mengambil air sembahyang.

RUANG SOLAT
Ruang solat yang agak luas dihampari dengan karpet yang telah dipasang siap. Terdapat 50 helai sejadah, 15 helai telekung wakaf, 15 helai kain pelikat wakaf, 10 songkok wakaf dan sebuah mimbar. Kebersihan pakaian solat adalah memuaskan kerana pada setiap sebulan sekali, ajk masjid tersebut akan membersihkan pakaian solat tersebut. Masjid tersebut juga menyediakan beberapa buah kerusi plastik khas untuk warga tua yang tidak dapat mengerjakan sembahyang secara berdiri.

BAHAN BACAAN
Masjid ini juga mempunyai 3 buah rak buku untuk menempatkan buku, al- Quran, kitab Yasin dan lain-lain lagi. Terdapat 30 buah al-Quran, 20 buah tafsir al-Quran, dan 120 buah kitab yasin. Selain itu, terdapat juga majalah-majalah agama seperti Islam, Annur dan lain-lain lagi. Kebanyakkan majalah-majalah agama tersebut di dermakan oleh masyarakat di kawasan masjid tersebut. Di satu sudut masjid tersebut disediakan sebuah perpustakaan mini yang menempatkan 4 buah meja bacaan. Di sudut itu juga terdapatnya sebuah papan kenyataan dan ditampal dengan risalah-risalah tentang cerita nabi dan juga carta organisasi.

P. A SISTEM
Terdapat 2 buah speaker dan 2 mikrofon di dalam masjid ini. Setakat ini hanya berlaku sekali sahaja kecurian iaitu pada tahun 2000. sebuah speaker telah di curi oleh seorang lelaki( penagih dadah ). Selain itu, mikrofon di masjid ini telah beberapa kali rosak namun telah dibaiki semula.


PERSEKITARAN
Kawasan masjid yang agak terhad membuatkan orang yang datang ke masjid terpaksa meletakkan kenderaan mereka di luar kawasan masjid. Terdapat 5 buah kerusi batu yang diletakkan di pekarangan masjid. Susunan lanskap di kawasan masjid ini agak sedikit kerana keluasan yang agak terhad.

PERALATAN
Masjid ini mempunyai 2 buah keranda, sebuah tempat mandi mayat dan juga sebuah kereta mayat(van). Semua perkakas mayat di letakkan dalam sebuah bilik di masjid tersebut. Masjid ini juga mempunyai peralatan-peralatan memasak untuk digunakan oleh penduduk setempat semasa mengadakan kenduri seperti kenduri doa selamat, kenduri kahwin, majlis tahlil dan sebagainya. Antara peralatan yang terdapat di masjid ini ialah 5 buah kawah, 4 buah periuk besar, masing-masing 150 buah pinggan, mangkuk dan gelas.

AKTIVITI MASJID

PENGAJIAN
Pada kebiasaannya, tidak ramai jemaah yang hadir untuk kuliah subuh tetapi sebaliknya untuk kuliah maghrib. Setiap sebulan sekali, AJK masjid akan menjemput penceramah jemputan untuk memberi kuliah maghrib. Seramai 32 orang wanita yang kebanyakkannya suri rumah menyertai kelas pengajian fardhu ain. Kelas ini bermula pada tahun 2000. tidak ramai yang menyertai kelas fardhu ain ini kerana kebanyakkan wanita di kawasan ini bekerja. Di samping itu, seramai 97 orang kanak-kanak iaitu 43 orang lelaki dan 54 orang perempuan menyertai kelas tajwid yang di ajar oleh 2 orang ustaz dan seorang ustazah. Kelas ini diadakan pada setiap hari isnin hingga jumaat pada pukul 3 petang hingga 5 petang.

KHAIRAT
Pada setiap bulan, beberapa wakil akan mengutip duit khairat kematian di kawasan perumahan di kawasan masjid ini. Selain itu, sumbangan untuk anak yatim dan juga janda juga turut di kutip terutamanya menjelang hari raya. Masjid ini juga memberi sumbangan berupa peralatan sekolah seperti beg, baju dan alat tulis kepada anak-anak yatim.

GOTONG-ROYONG
Setiap sebulan atau 2 bulan sekali akan diadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan masjid. Jamuan makan kecil akan disediakan setiap kali diadakan gotong-royong. Makanan tersebut di sumbangkan oleh seorang penduduk yang membuka perniagaan catering makanan. Selain itu, ada juga beberapa orang penduduk yang turut menyumbangkan makanan. Setiap kali gotong-royang diadakan, lebih kurang 80-100 orang yang hadir untuk menyumbangkan tenaga.

HARI KEBESARAN
Setiap kali tibanya hari kebesaran seperti Awal Muharam, ‘Asyura, Nisfu Sya’ban, Maulud Nabi, Nuzul al-Quran dan lain-lain lagi, AJK masjid akan mengadakan sambutan. Surat pekeliling akan dikeluarkan dan diedarkan ke rumah-rumah di kawasan masjid ini. Namun, tidak ramai yang menghadiri sambutan ini.

MASALAH
Tidak ramai penduduk yang datang setiap kali diadakan apa-apa aktiviti memandangkan ramai yang bekerja dan kawasan tersebut juga tidak ramai orang Melayu.

ORGANISASI MASJID AL-FIRDAUS

PENGERUSI
HAJI KAMARUZAMAN BIN HAJI AHMAD

BENDAHARI
ENCIK OTHMAN BIN MD ALI

IMAM / BILAL
HAJI FAZILAH BIN ABDUL RAHMAN

SIAK
ENCIK SYARIFF BIN MUSTAPHA

PENGERUSI
Pengerusi masjid ini, Haji Kamaruzaman Bin Haji Ahmad, telah berkhidmat selama 8 tahun sejak masjid ini ditubuhkan. Beliau ialah seorang pesara tentera yang berumur 62 tahun. Beliau tinggal di Wangsa Maju. Pendapatan sebulannya ialah sebanyak RM 950.

BENDAHARI
Bendahari masjid ini, Encik Othman Bin Md Ali, telah berkhidmat selama 7 tahun. Beliau ialah seorang pesara kerajaan yang berumur 55 tahun dan tinggal di Wangsa Maju. Pendapatannya sebulan ialah sebanyak RM 750. duit yang terkumpul pada bulan Ogos ialah sebanyak RM 825. duit tersebut dikumpul dari derma para jemaah yang datang untuk sembahyang Jumaat.

IMAM / BILAL
Haji Fazilah Bin Abdul Rahman bertugas sebagai imam merangkap bilal di masjid ini. Beliau telah berkhidmat sejak masjid ini ditubuhkan lagi. Beliau berumur 68 tahun dan seorang pesara tentera. Pendapatan sebulannya ialah RM 1350 ( elaun RM 450)

SIAK
Siak masjid ini ialah Encik Syariff Bin Mustapha. Beliau telah berkhidmat selama 5 tahun. Beliau berumur 45 tahun. Pendapatannya sebulan ialah RM 700.

KESIMPULAN

KELEBIHAN MASJID INI
Kelebihan masjid ini ialah menyediakan perkhidmatan memasak makanan untuk kenduri doa selamat, kahwin dan sebagainya. Sebahagian AJK akan membantu jika ada penduduk yang mengadakan kenduri.

CADANGAN
Saya mencadangkan supaya diadakan satu kawasan khas untuk meletakkan kenderaan kerana masjid ini tiada tempat parking. Selain itu, tandas yang bermasalah perlulah dibaiki.

Monday, October 03, 2005

No comments: